Rabu, 25 April 2012

Pengurusan Berkualiti, Wajah Sekolah Cemerlang


Wajah Sekolah Cemerlang

Kualiti dan cemerlang adalah dua perkataan yang saling berkait rapat. Pengetua / Guru Besar yang mengamalkan kualiti dalam setiap tugasnya pasti akan mempamirkan bentuk pengurusan dan pentadbiran cemerlang spt yg dilaporkan oleh Fred Hechinger - dalam setiap kes jatuh bangun sekolah ditentukan oleh kualiti Pengetua / Guru Besarnya ....

Jika pengetua / Guru Besar itu berkualiti , dimana - mana sahaja beliau ditempatkan walaupun sekolah itu sekolah yang banyak masalah , namun beliau akan berjaya mengubah keadaan itu kepada keadaan yang lebih baik. Team work dalam pengurusan sekolah amat penting jika ingin berjaya. Sebaliknya jika Pengetua / Guru Besar itu tidak berkualiti  , dimana-mana sahaja beliau ditempatkan walaupun sekolah itu berprestasi tinggi , beliau tetap akan gagal membawa perubahan positif di sekolah itu. Beliau menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan.

Sekolah yang dipimpin oleh Pengetua / Guru Besar yang berkualiti akan mempamirkan ciri - ciri berikut :
  1. Suasana sekolah yang kondusif , bersih , ceria dan harum seperti berada disebuah taman yang indah dan menyegarkan.
  2. Dapat mendengar dan melihat pengajaran serta pembelajaran yang memberansangkan dengan suara guru masih boleh didengar walaupun sedikit kebisingan. Wujudnya ritma pengajaran yang pelbagai.
  3. Bilik - bilik darjah , bilik khas dan stor sukan diurus dengan baik sesuai dengan fungsi bilik itu.
  4. Kakitangan sokongan dan guru - guru bekerja dalam suasana harmonis dan bermotivasi. Tidak nampak ketegangan atau tekanan pada wajah mereka. Seronok dan ceria menjalankan tugas harian.
  5. Pelajar dalam keadaan bersopan. Mengucapkan salam kepada tetamu yg hadir dan tidak kekok. Tidak ada pelajar yang berkeliaran di kaki lima sekolah tanpa tujuan.
  6. Dinding tandas dan bangunan bebas dari contengan atau kotoran seperti bekas tapak kasut pelajar , contengan perkataan yg kurang manis dan sebagainya.
  7. Papan - papan kenyataan tidak diganggu dan maklumat lengkap serta kerap diselengara oleh unit - unit yg berkaitan.
Bangunan dan landskap adalah gambaran awal kepada tetamu yang datang. Wajah sekolah yang malap menggambarkan bahawa pengurusan sekolah kurang prihatin dan kurang bermotivasi. Keadaan sekolah yang cemerlang bercahaya dan seronok mata memandang serta terpikat kepada keindahannya. Landskap yang teratur menyejukkan mata memandang. Taman - taman yang ada diselengara dengan baik , pokok - pokok hidup menghujau , segar dan ceria. Didinding bangunan terdapat lukisan mural yang menarik serta bermakna. Terdapat pelbagai ungkapan yang boleh memotivasikan pelajar. Contohnya kecemerlangan anda bermula di sini - sk Taman Bukit Indah. Terima kasih kerana anda hadir ke sekolah setiap hari.

Kecemerlangan sesebuah sekolah akan dinilai berdasarkan Dokumen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia ( SKPM ) yang disediakan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti , Kementerian Pendidikan Malaysia. Berdasarkan SKPM itu sesebuah sekolah akan dinilai oleh Jemaah Nazir berdasarkan 8 elemen yang ditetapkan iaitu :

  1. Gaya kepimpinan pengurusan sekolah - Pengetua / Guru Besar sebagai ketua pentadbir.
  2. Penetapan dan perlaksanaan hala tuju - visi dan misi sekolah.
  3. Kemahiran komunikasi - perkongsian idea dan maklumat.
  4. Kemahiran merancang - perancangan strategik , taktikal dan operasi.
  5. Kemahiran memotivasi dan mengerakkan warga sekolah.
  6. Kemahiran membuat keputusan.
  7. Kepimpinan instruksional.
  8. Perkongsian kepimpinan.
Gaya kepimpinan.
Kepimpinan sekolah mengamalkan gaya kepimpinan berkesan untuk menggembeling tenaga warga sekolah kearah pencapaian matlamat sekolah.Kepimpinan sekolah berperanan sebagai berimpak tinggi dan berupaya menggembeling dan menggerakkan warga sekolah secara bersepadu untuk memajukan sekolah dan meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran. Untuk mencapai hasrat tersebut kepimpinan sekolah hendaklah :
  1. Mengamalkan gaya kepimpinan berkesan. 
  2. Memastikan visi dan misi sekolah menjadi hala tuju seluruh warga sekolah ke arah pencapaian matlamat dan objektif yang ditetapkan.
  3. Menerajui penyediaan perancangan strategik.
  4. Mewujudkan perkongsian tanggungjawab untuk memupuk kesedaran tanggungjawab bersama dalam mengurus sekolah.
Penetapan dan perlaksanaan hala tuju.
Visi dan misi sekolah menjadi dokumen penting sebagai penetapan dan perlaksanaan hala tuju. Visi adalah matlamat yang hendak dicapai dan misi merupakan penerangan yang lebih jelas , tersusun dan realistik. Dokumen penting ini harus difahami dan dihayati oleh seluruh warga sekolah supaya objektif yang ditetapkan mudah dicapai.

Kemahiran berkomunikasi.
Kepimpinan sekolah mengamalkan komunikasi berkesan untuk berkongsi idea dan menyalurkan maklumat kepada pihak - pihak yang berkepentingan sama ada dalaman atau pun luaran. Teknologi maklumat merupakan saluran yang berkesan untuk menyampaikan maklumat. Pihak sekolah seharusnya mempunyai halaman blognya sendiri atau halaman facebook yang amat popular masa kini. Teknologi internet memudahkan pihak sekolah menyalurkan maklumat dan berkongsi idea dengan orang lain. Wujudkan kumpulan tertutup dalam facebook sebagai saluran yg boleh merapatkan hubungan dengan seluruh warga sekolah. Kumpulan PIBG untuk merapatkan hubungan dengan pihak ibubapa pelajar , dimana mereka boleh  menyalurkan maklumat atau perkongsian idea.

Kemahiran memotivasikan dan menggerakkan warga sekolah.
Kepimpinan sekolah harus berusaha dan merancang bagaimana hendak memotivasikan dan mengerakkan warga sekolah mencapai matlamat yang ditetapkan. Kejayaan sesebuah sekolah terletak kepada hubungan yang erat antara pihak pentadbir dengan guru - guru , pelajar dan pihak ibubapa pelajar serta PIBG sekolah. Kepimpinan melalui teladan , konsep kekeluargaan dalam organisasi , sekolah penyayang adalah diantara beberapa contoh konsep yang boleh diamalkan. Keharmonian dan keceriaan seluruh warga sekolah adalah kunci kepada kejayaan. Warga sekolah seronok dan ceria semasa melaksanakan tanggungjawab mereka. Tidak nampak ketegangan atau tekanan yang melampau dalam proses pengurusan.

Kemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
Sebarang keputusan atau tindakan hendaklah dibuat secara adil dan saksama berdasarkan peraturan dan pusat tanggungjawab yg diberi. Pentadbir harus faham dan jelas setiap peraturan yang diadakan berdasarkan  Perintah Am Kerajaan , Pekeliling Kementerian dan Ektika Profesion Keguruan. Yang paling penting ialah aspek budi bicara.

Kepimpinan instruksional.
Kepimpinan sekolah menerajui perlaksanaan kurikulum dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan pemupukan budaya pelajar. Persekitaran sekolah yang kondusif dan ceria menjadi daya tarikan kepada pelajar untuk seronok berada di sekolah. Program 3K harus digerakkan supaya ianya mencapai matlamat tersebut. Persekitaran pembelajaran yang menarik dan pelbagai menjadikan pelajar seronok belajar. Penggunaan LCD dan perisisan Power Point serta CD yang dibekalkan oleh pihak Biro Buku Teks boleh digunakan secara optimum. Makmal komputer dan Lap Top yang diberikan harus digunakan sepenuhnya. Teknik pengajaran - didik hibur amat berkesan jika digunakan secara efektif.

Perkongsian Kepimpinan.
Kepimpinan sekolah mewujudkan perkongsian tanggungjawab untuk memupuk kesedaran tanggungjawab bersama dalam menguruskan sekolah. Agihan tanggungjawab harus adil dan seimbang kepada keseluruhan warga sekolah dan tidak membebankan satu pihak sahaja. Bersaing secara positif dan mengelakkan prajudis serta buruk sangka. Idea dan saranan dari staf bawahan harus diterima secara terbuka dan difikirkan serta diimplimentasikan jika ianya baik untuk kemajuan sekolah. Cara ini dapat mewujudkan perasaan bawa idea dan saranan mereka di iktiraf serta dihargai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan