Jumaat, 4 Mei 2012

12 AMALAN HARIAN PELAJAR CEMERLANG

Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan cemerlang ?. atau Apakah itu cemerlang ?. Menurut Kamus Dewan ( Edisi Baru ) cemerlang bermaksud bersinar dengan terang sekali , berkilauan , gilang - gemilang , kejayaan atau keputusan yang baik. Mengapakah pelajar di katakan cemerlang ?. Mereka dikatakan cemerlang kerana mereka melepasi piawaian yang ditetapkan  ke atas mereka. Penilaian dan piwaian yang ditetapkan itu mungkin Pep. UPSR / PMR / SPM atau peperiksaan yang lebih tinggi lagi. Kecemerlangan bermula dari dalam hati yang berasaskan ledakan Iman dan takwa yang mampu mengubah dunia dan isinya.

Untuk cemerlang kita perlu menguasai ilmu dan hikmat. Kemana sahaja kita pergi bawalah buku bersama. Apbila buku sentiasa mendampingi kita maka senanglah kita hendak mendampinginya. Pastikan ada ilmu baru yang kita perolehi setiap hari. Hati memerlukan ilmu dan hikmah agar dengannya nafsu dan marah dapat dikekang untuk melaksanakan perkara - perkara yang bermunafaat. Orang yang kurang berjaya atau gagal berpunca daripada perbuatan melakukan amalan harian yang tidak bermunafaat , lalai , leka dan tidak menghargai masa. Mereka mudah terpengaruh dengan elemen - elemen yang negatif dan seronok melakukannya , malahan bangga berbuat demikian.  Bagaimana pula amalan pelajar yang cemerlang ?. Terdapat beberapa amalan yang dapat meningkatkan disiplin diri dan berjaya mencapai kecemerlangan. Pelajar yang cemerlang mempunyai tahap kecekalan dan komitmen yang tinggi dan sentiasa melakukan amalan - amalan berikut :
  1. Menentukan matlamat kerja dengan jelas dan hidup dengannya - sasaran
  2. Menyediakan jadual harian yang praktikal dan mudah diikuti - Jadual belajar
  3. Bertekat dan bersabar - azam yang kuat
  4. Pengurusan masa
  5. Istiqamah dengan jadual harian
  6. Tidak mudah kecewa
  7. Berdoa
  8. Belajar dari kejayaan dan kegagalan orang lain
  9. Mementingkan kesenangan masa panjang
  10. Memikirkan pengorbanan ibubapa / penjaga serta keluarga
  11. Mencari rakan berdisiplin
  12. Sedikit tapi berterusan
MATLAMAT YANG JELAS
Anda perlu menetapkan apakah kebolehan atau matlamat yang anda harapkan daripada sesuatu usaha yang sedang atau akan dilakukan. Contohnya pada akhir tahun 6 , saya ingin mendapat 5 A dalam peperiksaan UPSR. Untuk mencapai matlamat itu anda perlukan refleksi diri dan menganalisa kekuatan dan kelemahan diri. Setiap insan mempunyai kebolehan dan keistimewaan yang tersendiri yang mungkin tidak ada pada orang lain. Oleh itu :
  1. Kekuatan diri yang dimiliki dikekalkan dan dipertingkatkan
  2. Kelemahan diri diperbaiki dari masa ke semasa
Matllamat yang hendak dicapai memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tinggi , bak kata orang susah dahulu senang kemudian atau kesenangan itu tidak akan datang menggolek.

JADUAL HARIAN
Jadual berkait rapat dengan masa dan masa yang ada harus dihayati dan dimunafaatkan selagi masih ada kesempatan oleh itu jadual yang kita lakukan yang menjadi kerangka kerja setiap hari haruslah praktikal dan seronok dengan gaya hidup kita. Berjanjilah dihadapan jadual itu dan pada diri sendiri bahawa  anda  akan patuh dan anda akan buat sendiri. Jadual yang baik bersifat anjal yang bermaksud ia boleh diubahsuai. Anda harus mengamalkan disiplin hidup berjadual. Kitar hidup kita berasaskan masa dan kita diberikan masa 24 jam sehari untuk melakukan pelbagai perkara yang berfaedah atau yang merugikan. Terpulanglah kepada kematangan akal kita untuk memikirkannya. Allah swt ada menyatakan bahawa - demi masa manusia itu sentiasa berada dalam keadaan kerugian kecuali orang - orang yang berakal dan beramal soleh. Apakah kegunaan jadual itu ?. Jawapanya jadual itu :
  1. Sebagai garis panduan dalam melakukan aktiviti dalam kehidupan seharian. Jika seorang pelajar , dia menggunakan jadual itu untuk menguruskan masa belajar.
  2. Mendidik kita menggunakan masa dengan gaya hidup yang berkualiti
  3. Membentuk disiplin diri yang patuh kepada peraturan
BERTEKAD DAN BERSABAR
Bertekat bermaksud melakukan sesuatu dengan hati yang kental dan bersabar melakukannya supaya terhindar dari kegagalan atau kesilapan. Slogan seperti saya boleh! . melambangkan kekuatan diri yang kental dan tidak mudah mengalah. Pastikan apa yang kita lakukan itu selesai dan bukan hanya sekerat jalan sahaja. 

PENGURUSAN MASA
Menguruskan masa merupakan tugasan yang sukar dan mencabar tapi dapat dilakukan dengan jaya. Lakukan sesuatu perkara itu dalam masa yang ditetapkan dan jangan sekali - kali ditangguhkan tanpa alasan yang sangat penting. Pastikan keutamaan dalam melakukan sesuatu tugasan itu dari aspek kepentingannya dan berikan masa yang sesuai untuknya. Masa yang berlalu tidak dapat diganti dan ia berlalu mungkin membawa keuntungan atau kerugian. Kita harus bijak menggunakan masa dan kesempatan yang diberi. Masa tidak menunggu kita tapi kita yang menanti masa. Inilah yang dikatakan bijak mengambil peluang atau kesempatan yang ada. Ingatlah jangan sampai masa itu nanti menyoal kita semula apabila sampai masanya. 

ISTIQAMAH DENGAN JADUAL
Peganglah janji dan tepatilah janji yang kita buat. Berikrarlah pada diri sendiri untuk mematuhinya. Jangan jadi jadual dibuat tapi tidak mematuhinya. Orang yang berjaya sentiasa mematuhi jadual yang dilakukannya dengan penuh semangat dan keazaman yang tinggi. Jadualnya cantik tapi perlaksanaannya gagal maka tidak ada makna pada jadual itu. 

TIDAK MUDAH KECEWA
Orang yang lemah cepat dan mudah merasa kecewa tatapi orang yang kuat dan kental hatinya tidak mudah mengalah. Jangan bawa kegagalan masa silam menyukarkan perjalanan menuju kejayaan. Orang memiliki iman yang kuat dan teguh tidak mudah putus asa dan kecewa. Kegagalan sekali tidak bererti kita gagal untuk selama - lamanya. Untuk mengelakkan kita dari kecewa :
  1. Teguhkan iman dan ingatlah bahawa tidak ada manusia yang dilahirkan dengan kekecewaan
  2. Kegagalan kali pertama mendidik kita menjadi matang
  3. Jangan buat sasaran yang tidak mampu kita lakukan atau kita capai
  4. Ingatlah bahawa sebarang kesulitan itu ada jalan penyelesaiannya
  5. Ingatlah bahawa Allah swt sentiasa bersama orang yang melakukan kebaikan

BERDOA
Kunci kejayaan itu terletak pada doa , amal dan bertawakal kepada yang maha adil , bijaksana dan tempat menggantungkan segala harapan. Tidak ada doa yang ditolak oleh allah swt bezanya antara cepat atau lambat sahaja. Cepat atau lambat itu tentu ada sebabnya. Amalkan doa - doa yang mustajab dan yang diajarkan oleh Rasullullah saw. Setiap perbuatan yang kita lakukan itu harus disandarkan / bergantung kepada niat dan niat itu ibarat doa.

BELAJAR DARI KEJAYAAN DAN KEGAGALAN ORANG LAIN
Yang baik dijadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan oleh itu kajilah dan hayatilah kejayaan atau kegagalan orang lain sebagi contoh ikutan. Tentu ada rahsia disebalik kejayaan mereka , itulah yang perlu kita kaji , adakah kita mampu melakukannya. Baca dan kajilah riwayat atau perjalanan hidup mereka. Biasanya mereka menempuhi kesusahan terlebih dahulu sebelum menempa kejayaan.

PENTINGKAN KEUNTUNGAN JANGKA PANJANG
Hindarkan dahulu keseronokan jangka pendek yang boleh menyebabkan kita menanggis atau meratap pada masa depan kerana gagal dalam hidup. Berkorbanlah sedikit demi kejayaan dan kegemilangan masa depan. Tidak ada ruginya jika kita berbuat demikian dan keseronokan yang ada tidak akan kehabisan tapi peluang yang datang mungkin sekali sahaja dalam kehidupan. Jangan lepaskan peluang itu dan jangan sia - siakan kehidupan kita. 

FIKIRKAN PENGORBANAN IBUBAPA
Ingatlah dan hayatilah setiap sen wang yang ibubapa kita laburkan untuk kita bersekolah tapi akhirnya kita bayar dengan kegagalan. Mereka bekerja keras mencari wang untuk menyara perbelanjaan kita di sekolah setiap hari , begitu juga dengan setiap suap nasik yang masuk ke dalam perut kita adalah penat lelah mereka. Darah yang mengalir dalam tubuh badan kita adalah hasil dari usaha mereka. Mereka tidak mengharapkan balasan keran itu adalah tanggungjawab dan amanah mereka. Adakah kita bertanggungjawab pada diri kita sendiri ?. Tugas utama kita pergi ke sekolah ialah untuk belajar dan bukan membuang masa atau mengabaikan tanggungjawab kita. Kita tidak jujur dan amanah jika kita gagal menunaikan amanah yang diberi .... gagal menunaikan amanah bererti kita telah melakukan dosa kepada diri sendiri dan juga kepada ibubapa kita.

RAKAN BERDISIPLIN
Kita harus bijak mencari rakan dan jangan biarkan diri kita diheret ke jalan kegagalan. Jika begitu kita harus menyalahkan diri kita sendiri dan bukan orang lain. Mungkin terdapat ramai kawan untuk ketawa tapi tidak ada rakan yang snggup menanggis bersama kita semasa kita menghadapi kegagalan. Siapakah rakan yang berdisiplin ?. 
  1. Rakan yang sentiasa memikirkan kejayaan masa depan
  2. Mempunyai budi pekerti yang baik atau akhlak mulia
  3. Boleh dijadikan contoh atau dorongan untuk kita berusaha bersungguh - sungguh
  4. Tahu akan tanggungjawabnya dan sentiasa menunaikannya
  5. Tidak suka mengabaikan masa dan melakukan perkara - perkara yang tidak berfaedah
  6. Seronok kita memandang wajahnya yang bersinar
SEDIKIT TAPI BERTERUSAN
Biarlah hari ini anda berjaya menjawab satu soalan sahaja tapi anda benar - benar faham dan menguasai soalan tersebut. Fikirkan lah kualiti dan bukan kuantiti. Allah swt lebih suka sesuatu amal perbuatan yang kita lakukan itu walaupun sedikit tapi sentiasa berterusan. Tidak ada gunanya jika kita buat banyak tapi tidak berkualiti dan tidak berterusan. Janganlah menjadi unta yang membawa beban tetapi ia tidak tahu apa yang dibawa oleh itu jadilah sang kancil walaupun kecil tetapi bijak. Perbuatan atau amalan yang kita lakukan secara berterusan itu akan :
  1. Menghasilkan bekas atau kesan dalam minda kita untuk jangka panjang
  2. Fakta yang dibaca akan terus kekal kerana ia dilakukan berulang - ulang kali
  3. Mendidik kita supaya menjadi seorang yang berdisiplin
Selain daripada 12 perkara tersebut cuba juga amalkan :
  1. Menunaikan hak allah - tidak meninggalkan solat tanpa sebab
  2. Niat terlebih dahulu melakukan perkara tersebut
  3. Mengambil wuduk sebelum memulakan proses ulangkaji
  4. Menghadap kiblat semasa mengulangkaji pelajaran
  5. Sentiasa taat kepada ibubapa dan guru - guru supaya ilmu yang diberi berkat
  6. Sentiasa meminta ibubapa mendoakan kejayaan kita
  7. Jangan minta ibubapa mengeluarkan kata - kata yang kurang baik terhadap kita kata - kata mereka itu ibarat doa dan penutup pintu hati kita
  8. Sentiasa mengamalkan makanan yang baik kepada kesihatan khasnya untuk minda. Elakkan makanan yang kurang berkhasiat.
  9. Jujur dan ikhlas pada diri sendiri
  10. Sentiasa mengamalkan solat hajat dan berterusan
  11. Luangkan sedikit masa untuk keperluan diri
  12. Luangkan sedikit masa untuk mengaji Al - Quran.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan